Bagi membina sistem sokongan industri francais yang lebih berkesan, peranan kerajaan dalam membangunkan perniagaan francais untuk menyumbang kepada peningkatan ekonomi Malaysia adalah dengan penyediaan kemudahan kewangan. Insentif dan bantuan kewangan yang disediakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan adalah termasuk Skim Pembiayaan Francais (SPF), Dana Bantuan Pembangunan Francais (DBPF), Skim Pembiayaan Kecil Francais (SPKF), Bantuan kewangan yang disediakan oleh Perbadanan Nasional Berhad (PNS).
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan dengan kerjasama Credit Guarantee Corporation (CGC) telah memperkenalkan Skim Pembiayaan Francais (SPF), khusus untuk membantu usahawan yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan francais. Jumlah pinjaman maksimum adalah sebanyak RM 7.5 juta. Jumlah pinjaman yang akan diluluskan adalah bergantung kepada keperluan perniagaan berkenaan. Melalui skim ini, para usahawan boleh mendapatkan pembiayaan menerusi institusi kewangan tertentu yang mengambil bahagian dalam skim ini. Bank-bank perdagangan yang terlibat adalah CIMB Bank Berhad dan Maybank Berhad.
Selain itu, Dana Bantuan Pembangunan Francais (DBPF) juga diadakan sebagai insentif bagi menggalakkan usahawan tempatan untuk menukarkan perniagaan konvensional mereka kepada perniagaan francais. Melalui dana ini, perniagaan yang telah berjaya didaftarkan sebagai perniagaan francais (francaisor atau francaisi induk) layak diberikan geran dalam bentuk bayaran balik sehingga 90% dari kos yang digunakan untuk membangunkan sistem francais dengan had maksimum RM100,000.
Bagi Skim Pembiayaan Kecil Francais (SPKF) pula, skim ini bertujuan untuk memberi bantuan kewangan kecil (micro-franchising) kepada francaisi tempatan yang berpendapatan kecil dan sederhana dengan pembiayaan maksimum sehingga RM50,000. Skim ini menyediakan pembiayaan perniagaan kepada bakal-bakal usahawan untuk menceburi bidang perniagaan francais secara mikro yang menawarkan satu model perniagaan yang teratur, sistematik dan kurang berisiko. Bantuan kewangan yang disediakan oleh Perbadanan Nasional Berhad (PNS)pula termasuk Pre-Franchise Scheme, Skim Francais Eksekutif, Skim Pembiayaan Francaisi, Franchise Micro Financing Scheme (SPKF),Graduate Franchise Programme dan sebagainya.
Dalam usaha menahankan sistem sokongan terhadap francais, antara program yang telah dibangunkan bagi memastikan perniagaan francais berkembang pesat termasuk Program Pembangunan Francais (PPF). Program ini adalah satu program pemasaran berteraskan konsep Pensyarikatan Malaysia yang bertujuan membangunkan usahawan-usahawan kecil dan sederhana (UKS) di sektor perdagangan, perkhidmatan dan perindustrian. Pelaksanaan sistem francais memungkinkan penyertaan usahawan-usahawan kecil dan sederhana (UKS) ke dalam satu rangkaian perniagaan tempatan dan antarabangsa yang lebih besar dan risiko yang lebih rendah berbanding memulakan perniagaan sendiri.
Di bawah Program Pembangunan Francais (PPF), syarikat induk atau francaisor memberikan hak pemasaran atau pengedaran yang komprehensif kepada usahawan-usahawan kecil dan sederhana(UKS) atau syarikat francaisi bagi menjalankan sebuah perniagaan yang berdaya maju dan kompetitif berdasarkan satu kontrak yang dipersetujui bersama untuk satu tempoh masa tertentu dan dijalankan pada suatu kawasan yang dikenalpasti.
Selain itu, Program Pembangunan Francais Tempatan (PPFT) juga diperkenalkan bertujuan untuk memberikan bantuan kepada pengusaha-pengusaha tempatan yang mempunyai produk yang berpotensi untuk difrancaiskan tetapi tidak mengetahui cara untuk memfrancaiskan produk tersebut. Melalui program ini, pengusaha yang berkelayakan akan dibimbing dari peringkat awal sehingga pembukaan outlet prototaip, dengan kos bayaran perundingan dibiayai sepenuhnya oleh agensi kerajaan.
Selain daripada itu, promosi juga sentiasa dibuat bagi membuka peluang penglibatan di dalam aktiviti-aktiviti promosi francais yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan(KPDNKK) di dalam dan luar negara. Antara aktiviti yang telah dianjurkan adalah seperti The Agencies & Franchise Trading Exhibition (ATEX) 2011, China Franchise Expo Mei 2011, Ekspo Francais bersama Ekspo Beli Barangan Malaysia 2011, Int. Franchise Licence & Business Concept Expo & Conference 2011, Franchise International Malaysia (FIM) 2011, Shanghai International Franchise Exhibition (SIFE) 2011, Franchise Komuniti Perak(FKP).
Baru-baru ini juga Pelan Induk Francais lima tahun itu telah dilancarkan secara rasmi pada 10 Januari 2012 dan pada masa yang sama beberapa peraturan baharu akan diperkenalkan dan akan berkuatkuasa sebaik pelancaran dan beberapa pindaan di dalam Akta Francais akan dibentangkan di Parlimen pada Mac 2012 termasuk pendaftaran kesemua pemain industri seperti francaisor, francaisi dan perunding francais bagi memastikan pemantauan yang lebih berkesan. Ini kerana akta sedia ada tidak mewajibkan pendaftaran francaisi dan perunding francais sehingga menyebabkan kerajaan gagal mendapat maklum balas mengenai prestasi semasa, masalah dan penipuan yang berlaku.
Sebelum ini, kerajaan hanya memiliki data francaisor sahaja. Maka, data yang diperoleh tidak lengkap untuk menggambarkan perkembangan keseluruhan industri francais dan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Dengan adanya pendaftaran semua peserta dalam industri ini membolehkan pengurusan dapat dijalankan secara telus di mana semua maklumat tentang francaisor, francaisi dan perunding dapat diakses oleh semua pihak sebagai rujukan. Kerajaan hanya mewajibkan francaisi mendaftar. Namun, tidak perlu memohon lesen seperti yang diwajibkan kepada francaisor dan perunding francais.
Sebagai usaha membendung penipuan melibatkan perunding francais swasta yang semakin berleluasa, peraturan baharu akan mewajibkan golongan berkenaan memohon lesen daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan(KPDNKK) dan hanya syarikat yang mempunyai lesen sahaja dibenarkan menawarkan khidmat kepada industri francais selepas penguatkuasaan dibuat. Dengan peraturan baharu nanti, kerajaan akan menetapkan bayaran rundingan mengikut jenis perniagaan francais. Peraturan dan akta baharu ini penting untuk kerajaan merangka program pembangunan pada masa depan memandangkan pelan induk lima tahun ini mempunyai perancangan yang besar terutamanya bagi memperkasa penerokaan pasaran luar negara.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga telah mengadakan rundingan awal dengan kerajaan Indonesia pada Jun 2010 bagi mewujudkan “Laluan Hijau” iaitu membolehkan perniagaan francais dapat merentasi sempadan kedua-dua negara dengan lebih mudah. KPDNKK juga berusaha membantu lebih banyak francaisor tempatan bagi menerokai pasaran Negara China, Timur Tengah dan rantau Asia Tenggara kerana peluang yang ditawarkan negara-negara berkenaan sangat luas.
Akhir sekali, Francais Komuniti dijadikan sebagai salah satu program yang telah dilaksanakan bagi membantu mengukuhkan lagi budaya keusahawanan supaya dimanafaatkan sepenuhnya bagi golongan usahawan kecil bumiputera di negara kita. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda Negeri Pahang, Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak, peluang kini di buka luas kepada para usahawan kecil bumiputera untuk bersama-sama terlibat dalam perniagaan francais. Program ini juga dilihat mampu menghapuskan persepsi orang ramai bahawa perniagaan francais adalah sebuah industri berskala besar. Program ini memberi peluang kepada lapisan masyarakat tanpa mengira status sosial yang lebih penting adalah mempunyai minat dan semangat tinggi untuk berjaya dalam perniagaan.